Sabtu, 19 Mei 2012

Kepintaran Emosi



Kita sering diperingatkan supaya jangan mengikut perasaan marah. Nasihat ini sememangnya masuk akal kerana marah yang melampaui batas (disebut sebagai "baran") pasti memakan diri.
Malah, bagi orang dewasa, emosi marah yang tidak bertempat terbukti menjadi punca keretakan rumah tangga dan ketegangan di tempat kerja. Kerana marah jugalah, ibu bapa mungkin tidak bertegur sapa dengan si anak atau si adik sanggup memutuskan pertalian keluarga dengan abang atau kakak kandung.  Demikianlah bahayanya marah yang keterlaluan.
Pernahkah anda bertanya: Jika marah itu buruk dan semata-mata memudaratkan, mengapa Allah cipta emosi marah di dalam setiap insan? Mengapa mesti kita dibebankan dengan sesuatu yang menjadi punca perselisihan faham sesama rakan taulan dan keluarga?
BENARKAH EMOSI MARAH BURUK SEMATA-MATA?
Sebenarnya, ada hikmah emosi marah ini dicipta oleh Allah Maha Kaya. Bayangkan, suatu hari anda berjalan kaki di jalanraya sambil membawa sebuah komputer yang baru anda beli. Tiba-tiba entah dari mana, kedengaran bunyi enjin motosikal datang dengan deras. Belum sempat anda menoleh, komputer anda yang baru saja dibeli diragut dari genggaman anda dengan begnya sekali! Nah, apakah perasaan anda saat itu? Marah bukan? Anda marah kerana hak anda dirampas. Emosi marah inilah yang akan mendorong anda untuk bertindak. Mungkin anda akan menjerit minta tolong, mungkin jika anda tahu tae-kwon-do, anda akan spontan membuka langkah ketika itu untuk mendapatkan harta anda kembali. Seterusnya, anda akan ke balai polis untuk membuat aduan. Semuanya ini kerana anda marah.
Bayangkan jika anda seorang insan yang tidak tahu marah langsung dan sentiasa ceria dalam apa juga keadaan. Tentunya anda akan membiarkan sahaja apa yang berlaku ke atas diri anda sebentar tadi. Malah, ketiadaan rasa marah juga bermakna, anda tidak akan berbuat apa-apa jika ahli keluarga, jiran, atau sahabat anda dicabuli haknya. Hatta jika orang pijak kepala pun, anda akan tersengih juga!

YANG PERLU DIELAK IALAH MARAH MEMBABI BUTA
Oleh itu, jelas marah adalah emosi yang ada buruk dan baiknya. Masalah timbul bila kita tidak tahu mengawal marah. Akibatnya, marah beraja di hati dan kita bertindak mengikut marah yang meluap-luap dan akhirnya membakar diri.
Jadi, bagaimana mendidik anak untuk mengawal marah? Setiap usaha perlukan tujuan atau objektif yang jelas supaya kita tahu hala tuju kita. Seperti semua usaha kita yang lain, bak kata pujangga "Mulakan sesuatu usaha dengan hala tuju yang jelas" ("Begin with the end in mind"). Objektif kita bila mengajar anak mengendalikan emosi marah ialah:
- Mengawal marah bila perlu
- Meluahkan emosi marah secara positif
LANGKAH PERTAMA MENGAWAL MARAH
Langkah pertama dan paling penting untuk mengajar anak mengawal marah ialah menyuruhnya mengambil wudhuk pada masa itu juga. Katakan dua orang anak anda bertelingkah di hadapan anda dan mula bertindak kasar, leraikan serta-merta dan katakan dengan tegas (tanpa membentak): "Ummi / Ayah nak Man dan Mat ambil wudhuk sekarang. Ummi / Ayah akan tunggu di sini. Kemudian datang jumpa Ummi / Ayah dan kita boleh bincang. " Jika mereka enggan, ulangi beberapa kali sehingga dibuatnya. Kemudian tunggu mereka datang. Ini berlandaskan sunnah Rasulullah S.A.W. sendiri yang menggesa kita untuk mengambil wudhuk demi meredakan kemarahan yang melanda diri menerusi sabdanya,
"Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan terbuat dari api. Dan api itu hanya bisa dipadamkan oleh air. Oleh karena itu, jika seorang di antara kamu marah maka berwudhuklah. "
(Riwayat Abu Daud).
LUAHKAN MARAH SECARA POSITIF
Seterusnya, bila kemarahan anak anda sudah agak reda, ajar dia untuk mengendalikan emosi marah secara positif. Caranya mudah, iaitu:
Fokus kepada mesej yang perlu disampaikan; iaitu bukannya tidak boleh marah langsung, tetapi mengawal marah dan seterusnya bertindak secara rasional. Katakan kepada anak anda "Man, perasaan marah ini Allah jadikan ada hikmahnya. Memang patut kita rasa marah bila ada sesuatu yang tidak kena. Asalkan marah itu kena pada tempatnya. Tapi tidak wajar kita meluahkan rasa marah dengan menyakiti orang lain seperti memukul, atau menjerit dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Ada cara yang lebih baik untuk meluahkan rasa marah kita." Pilih kata-kata yang baik begini bila menerangkan situasi kepada anak anda. Jika perlu, pisahkan anak-anak yang bertelagah dan bincang secara individu (berasingan) terlebih dahulu sebelum berbincang bersama-sama. Ini membantu meredakan keadaan, lebih-lebih lagi jika anak-anak terbabit rapat umurnya, di mana tahap kematangan lebih kurang sama. Ajar anak untuk meluahkan emosi marah dengan kata-kata positif, supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan. Umpamanya, bila dilontarkan dengan kata-kata yang kasar atau kurang sopan oleh kanak-kanak lain, ajar dia untuk berkata "Saya marah sebab awak cakap yang tidak baik kepada saya." Atau "Saya marah kerana awak ambil pensil saya." Atau "Saya marah kerana awak tidak pulangkan buku kesayangan saya." Ajar dia untuk menyatakan ayat ini dengan suara tegas ( secara asertif) tanpa menjerit. Ajar dia untuk meninggalkan tempat di mana ketegangan berlaku sebelum keadaan semakin kusut, jika perlu. Bagaimanapun, jika sering berlaku pergaduhan di antara dua orang anak anda, anda perlu menyelidik lebih lanjut punca ketegangan ini. Tidak mempedulikannya hanya akan memburukkan keadaan untuk jangka panjang. Anak-anak meniru apa yang kita buat, bukan apa yang kita katakan. Pastikan anda sendiri tidak bertindak secara kurang rasional apabila marah sedang memuncak.

INGATLAH WAHAI IBU BAPA
Kasih sayang tidak memadai
Doa tidak mencukupi
Ilmu keibu-bapaan tidak datang dengan sendiri
Timbalah ia bersungguh-sungguh seikhlas hati
Agar anak menjadi insan yang hebat dan pandai berdikari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini